Wednesday, March 20, 2013

Pembangunan Aplikasi Online

 

Mungkin ramai di antara kita yang sudah biasa membina aplikasi web. Saya sendiri sudah lebih 10 tahun terlibat dalam bidang ini. Namun, apa yang saya perhatikan kebanyakan developer membangunkan aplikasi web secara semberono. Ya! Termasuk saya.

Pembangunan sesebuah aplikasi sepatutnya mengambil berat bab perancangan projek. Tidak perlu lah ikut sebijik teori apa yang telah kita belajar semasa di universiti dahulu. Itu dulu. Sekarang lain. Teknologi pun berubah dan berkembang dengan pesat.

Ada beberapa perkara asas yang masih boleh digunakan dalam setiap pembangunan aplikasi. Kita sebagai developer pun kadangkala memang malas nak ambil tahu. tetapi hakikatnya, perkara tersebut amatlah penting diimplementasikan.

Secara asasnya, (ini adalah pandangan peribadi saya) sebagai developer kita perlu mengikuti langkah-langkah berikut apabila terlibat dengan projek pembangunan aplikasi online. Saya tidak pasti sama ada ia boleh digunapakai bagi projek pembangunan mobile app atau client-server kerana saya tidak pernah terlibat dengannya:

Dapatkan keperluan pengguna:

  • Minta pemohon sediakan carta alir tentang perjalanan proses kerja manual dan apabila telah disistemkan.

  • Developer perlu berbincang dan memberi pandangan ke atas carta alir tersebut.

  • Dapatkan juga info-info seperti berapa ramai pengguna sistem yang akan terlibat, had capaian dan sebagainya.


Bina draf awal sistem:

  • Developer perlu sediakan satu draf dalam bentuk wireframe, iaitu paparan skrin dari page pertama sehingga selesai bagi setiap proses kerja/modul.

  • Setiap page juga perlu disertakan dengan tajuk skrin, kandungan skrin, kumpulan pengguna yang boleh melihat paparan tersebut, data yang diterima dari skrin sebelumnya, data yang akan dihantar ke skrin seterusnya dan apakah proses yang perlu dilakukan oleh pengguna bagi skrin tersebut.


Sediakan mockup untuk pembentangan awal kepada pemohon:

  • Pindahkan draf berkenaan ke dalam template sistem sebagai mockup. Ini bermakna ia belum perlu disambungkan ke pangkalan data.

  • Wujudkan juga pautan (link) antara page supaya sistem tersebut nampak hidup semasa dibentangkan (demo) kepada pemohon.


Penambahbaikan:

  • Jarang sekali pemohon akan berpuas hati dengan hasil pertama. Banyak pembetulan dan penambahbaikan akan diminta oleh pemohon.

  • Ia tidak perlu dihairankan kerana pemohon melihat sistem tersebut buat kali pertama.

  • Drafkan penambahbaikan tersebut.


Mulakan rekabentuk pangkalan data & proses pengaturcaraan:

  • Peringkat ini, developer sudah boleh memulakan proses merekabentuk pangkalan data yang diperlukan.

  • Developer juga memulakan proses pengaturcaraan.

  • Sekiranya projek dibuat secara berkumpulan, ketua projek akan memainkan peranan yang penting dalam pembahagian tugas.

  • Ia tidak boleh dibahagikan mengikut modul, sebaliknya tugas pengaturcaraan diagihkan berdasarkan setiap page.

  • Katakan dalam satu modul sistem yang dibangunkan itu mempunyai 5 skrin. Tugas pengaturcaraan boleh dibahagikan kepada developer pertama menyiapkan 3 skrin, developer kedua menyiapkan 2 skrin dan seterusya.


Pembentangan projek yang telah siap:

  • Developer perlu membentangkan semula projek, kali ini dengan projek yang telah 100% siap dibangunkan.


Dan seterusnya.. Terpulang kepada developer nak dengar sebarang komen pemohon sistem yang kadangkala cerewet atau dengan bermacam kerenah.. Ada yang di awalnya mereka kata A kemudian di akhirnya kata G.  Itu bergantung kepada anda, sebagai seorang developer, bagaimana anda hendak menghadapi situasi tersebut?

Ok, nampak memang macam senang. Cuba aku buat?
Share: